jambatan cinta illahi  



Penerbangan yang memakan masa dua setengah jam memang membosankan. Melihat penumpang lain bersiap untuk melelapkan mata, saya mengambil keputusan untuk menyertai mereka. Tapi mata saya langsung tidak mahu lelap.
Rasa sedih berpisah dengan anak-anak benar-benar mengganggu fikiran saya. Saya juga tidak selesa kerana beg yang saya letak di bahagian tepi menyempitkan tempat duduk. Saya keluarkan isi yang membuatkan beg saya menjadi besar, dan ternyata ianya tafsir Al-quran yang adik saya berikan.
"Ini jambatan kita kepada Allah. Insya-Allah, kita kekal dicintai Allah selagi berpegang pada ini," kata adik saya semasa memberikan tafsir Al-Quran itu.
Tafsir kitab suci itu comel sahaja bentuknya. Kulitnya berwarna hijau pucuk pisang. Adik saya berikan sewaktu kami sama-sama berpisah daripada keluarga tercinta demi mencari rezeki. Adik saya ke Bumi Kenyalang sementara saya ke ibu negara.
Kerana tidak mahu dia berkecil hati, saya menerimanya tanpa ada apa-apa perasaan selain sedih kerana terpaksa berpisah dengan keluarga. Waktu itu saya selalu mempertikaikan nasib saya. Sudahlah saya tidak diberikan rezeki di bumi sendiri, terpaksa pula berpisah dengan anak-anak saya.
Lama saya memegang tafsir itu. Kerana tidak tahu mahu buat apa dengan tafsir itu (saya risau juga untuk meletakkannya di mana-mana sesuka hati), maka saya tergerak hati (Alhamdullilah, masa itu Allah membuka hati saya) untuk membacanya. Halaman pertama:
"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. "
(Surah al-Fatihah, ayat 1 hingga 7)
Perlahan, air jernih berguguran dari mata saya. Benar Allah Maha Berkuasa. Hanya padaNya kita dapat memacu segala pengharapan. Saya pernah diberitahu perkara itu. Bukan sekali, malah sepanjang dua belas tahun tempoh persekolahan menengah dan rendah ustaz dan ustazah yang mengajar sering mengingatkan.
Tapi kali ini, kata-kata Allah itu sampai di hati saya melalui tafsir al-Quran. Tafsir kitab suci yang Allah hadiahkan kepada hambaNya sebagai jambatan merasai cintaNya.

Saya menyelak lagi halaman yang seterusnya:
"Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. "
(Surah al-Baqarah, ayat 1 hingga 5)
Segalanya tentang kehidupan terkandung di dalam al-Quran. Sejuta buku tidak akan mampu menghuraikan setiap inci erti hidup melainkan al-Quran.
Ternyata benar, hati yang gersang jika mencari dalam kitab yang kudus akan menjumpai lebih daripada apa yang dicari. Akan terungkai setiap yang diragui, akan terjawab setiap persoalan sekiranya pencarian berpusat pada yang Maha Sempurna.
Salah satu hadiah Allah kepada kita, hamba akhir zaman ini, adalah al-Quran. Hadiah inilah yang menjadi jambatan untuk kita merasai cintaNya (insya-Allah).
Saya tidak sempat menghabiskan bacaan tafsir. Dua setengah jam masa penerbangan yang awalnya saya rasa terlalu panjang menjadi sangat singkat. (Pada masa itu terdetik di fikiran saya, seandainya maut menjemput saya sesaat lagi saya akan sangat rugi kerana tidak sempat mengerti erti hidup.)
Sampai sahaja di destinasi, saya lantas mengambil telefon bimbit dan mencari nombor telefon adik saya. Adik saya sudah lama tiba di destinasinya kerana penerbangannya hanya mengambil masa kurang sejam.
"Syukran, Duy. Tafsir al-Fatihah dan al-Baqarah sudah habis saya baca. Lepas ini saya mahu baca surah al-Imran. Subhanallah, Duy, bestnya tafsir yang kau bagi tu." Di hujung talian telefon itu saya dapat merasakan yang adik saya sedang tersenyum.

0

 erti ujian Allah 


Aku cuma seorang gadis biasa. Perwatakan, pemakaian aku, belum cukup sempurna sebagai seorang muslimah sejati. Tapi Allah itu Maha Penyayang, tidak dibiarkan seorang yang seperti aku untuk terus hanyut dan lalai melupakanNya.
Aku bukanlah tidak solat, cuma terkadang lalai. Aku bukan tidak puasa, cuma mulut masih rancak mengumpat. Aku beragama Islam tapi aku sedar, Islam ku belum cukup sempurna seadanya.
Aku pernah punya kekasih hati. Seorang yang baik, yang banyak mengubah aku. Seorang yang aku selalu bayangkan bakal menjadi imam setiap solatku. Tapi kasih terhenti atas sebab yang tidak diingini. Aku rasa rebah seketika. Aku tiada tempat mengadu kerana aku tinggal sendirian. Selera makanku putus. Mengukir senyuman terasa mustahil. Aku habiskan masa depan komputer riba usangku. Mencari doa terbaik untuk menenangkan jiwa.
Suatu hari, aku terjumpa Al-Insyirah. Bait-bait dalam Al-Insyirah cukup menekan kalbuku. Aku terpesona. Aku teliti dan hayati maksud ayat surah itu. Lalu ku baca satu persatu.
"Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Peyayang...
1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya Dengan iman dan hidayah petunjuk)?
2. Dan Kami telah meringankan bebanmu daripadamu:(menyiarkan Islam) -
3. Yang memberati tanggunganmu,
4. Dan Kami tinggikan sebutan (nama)mu bagimu.
5. Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
6. Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
7. Maka apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain),
8. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini)."
Setiap kali usai solat, surah Al-Insyirah akan ku baca. Setiap kali jantung terasa berat, hati terasa sarat. Aku ulangi lagi Al-Insyirah. Setiap hari komputer riba aku tatapi, mencari sesuatu yang bisa untuk ku hilangkan segala resah di hati.
Dan akhirnya aku tersedar, segala bebanan yang aku tanggung, segala ujian ini sebenarnya tanda kasih Allah pada aku. Allah rindukan rintihan aku. Aku tahu, Allah mahu mengajar aku erti sebenar ujian-Nya.
Dari situ, satu persatu aku temui. Semua bermula dari komputer riba usang ku. Tiada pentingnya cinta manusia jika Allah tidak kita letakkan pada nombor satu. Namun, aku cuma insan lemah. Sering juga aku rasa kalah, aku rasa resah. Aku masih cuba membaiki diri, setapak demi setapak. Aku masih lagi aku yang dulu, cuma aku harapkan rohani aku sedang dalam proses pemulihan dan pembersihan.

Alhamdulillah, Allah sedarkan aku dengan menghantar ujian buat aku. Allah tinggalkan aku sendirian jauh dari manusia yang lain, supaya aku dekati-Nya, supaya aku dapat luahkan semua padaNya. Allah hantar ujian buat aku supaya aku sedar bahawa Dia adalah penguasa diriku, supaya aku sedar bahawa hati aku adalah milikNya. Jika gembira hati ini, semua datang dariNya, jika berat hati ini, kepada dia jugalah tempat aku mengadu untuk hilangkan resah.
Dalam hadith qudsi Allah berfirman:-
"Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya" 
(Hadis Riwayat Tabrani dari Abu Umamah)
Bukan mudah untuk memahami sepotong ayat ini. Aku bersyukur kerana aku di antara hambaNya yang terpilih untuk diberi ujian. Dari ujian ini lah aku mencuba untuk memperbaiki diri. Kerana aku tak mahu aku hanya mencariNya di kala aku kesusahan.
Aku mahu aku sentiasa merindui tuhanku. Aku mahu setiap gembira ku dimulai dengan Alhamdulillah supaya setiap kesusahan ku dapat aku luahkan padaNya tanpa rasa malu.
Semoga Allah sentiasa membantu aku untuk memperbaiki diriku.

istimewanya dirimu 




Setiap orang ada lapangannya yang tersendiri. Jika semua orang di dunia ni sama sahaja, pasti kehidupan terasa hambar, tiada warnanya. Bosan!
Maha AgungNya Allah SWT, diciptakan pelbagai variasi kelebihan buat orang yang berbeza-beza. Saling melengkapi, cukup mencukupi, menampung yang kurang dan menongkat yang pincang.
Ada orang yang pandai berkarya
Ada yang power berkata-kata
Ada yang macam atlas thaqafahnya
Ada yang tough muscle macam Hulk fizikalnya
Tapi..
Kalau semua orang berkarya, siapa yang nak baca karya yang terhasil?
Kalau semua orang power berkata-kata, mesti telinga kita sakit  mendengar debat di setiap penjuru yang ada.
Kalau semua orang macam atlas thiqahnya, apa perlunya perpustakaan? Peluang untuk meraih pahala dengan menyebarkan ilmu pun menghilang lantaran semua orang semakin pandai..
Kalau semua orang tough muscle macam Hulk, ramai pula yang mula tunjuk belang
Kita diciptakan oleh Tuhan. Dia Maha Mengatur, Maha Mentadbir. Setiap apa yang ada di bumi ini adalah di bawah pentadbiran Allah SWT hatta kita juga adalah sebahagian ciptaan-Nya yang melengkapi alam ini. Tidak salah merasa syukur dengan kelebihan yang Allah kurniakan. Yang salahnya merasa kehebatan diri melebihi rasa hebatnya pada Allah SWT sedangkan kelebihan itu DIA yang berikan.
Kamu rasa diri lemah, tak berguna?
Rasa lemah dan tidak pandai Matematik? Mungkin kamu pandai sastera.
Tidak cukup power berkata-kata? Mungkin kamu tajam akalnya.
Tidak berani dan gemuruh berdepan ramai orang? Mungkin kamu berbakat ICT.
Lemah ingatan dan tidak kuat hafalan? Mungkin kamu expert memasak.
Marilah kita hargai diri diri sendiri, kita syukuri apa jua yang Allah kurniakan pada kita. Syukur atas segala nikmat samada kecil mahupun besar. Baik atau pun tidak. Senang atau sukar. Mungkin, ada nikmat pada diri sendiri yang kita anggap kecil umpamanya seperti tiada nilai di sisi manusia, namun hakikatnya sangat besar nilainya pada orang lain.
Pada pandangan mereka yang kekurangan,  mereka berkata..
"Alangkah bestnya kalau aku ada apa yang dia ada"
"Alangkah bertuahnya dia dengan kereta mewahnya"
"Beruntungnya dia, dapat melancongsetiap tahun ke luar negara"

Kesimpulannya, usah tanamkan rasa lebih pada manusia. Apa jua yang ada pada manusia lain adalah pinjaman semata. Hakikatnya segalanya adalah milik Allah SWT. Jadilah manusia yang sentiasa bersifat perlukan qanaah dan merasa syukur ketika merasa cukup dan lebih dari manusia lainnya. 
Jadilah diri anda sendiri, kerana diri anda adalah yang terbaik!
"Tapi, bagaimana?"
"Ucapkanlah Alhamdulillah..."
Bersyukurlah walau dengan yang sedikit. Pujilah Allah yang Maha Kaya. Hakikatnya kita memang tiada apa-apa, kita bukan siapa-siapa. Pandai, bodoh, glamer, isolated, mulia, hina... semuanya hanyalah 'wayang' di dunia fana ini. Semua orang memainkan wataknya. Semua orang sama asalnya. Hanya dipilih untuk beraksi sebaik mungkin. Anugerah pula diberikan buat mereka yang ikhlas. Mereka yang tetap teguh pada Islam dalam apa-apa jua keadaan. Insan rabbani berfirasat sufi.
Apa lah yang ada pada raut keangkuhan. Berjalan di mandala sebagai makhluk, tidak layak menandingi Sang Khaliq. Kalau sombong, tak kan ada siapa yang suka hatta Allah juga benci kepadanya. Berlagak sempurna pada 'barang' yang bukan miliknya.
Hidup ini adalah anugerah, hadiah oleh-Nya agar kita mengenal erti buat diri. Agar kita menyempurnakan misi tertentu yang disusun oleh Allah di aturan taqdir. Ketentuan setiap kita berbeza. Hadapilah ia sebagaimana yang kamu mahukan, asal tidak menyimpang dari laluan menuja redha Tuhan. Hiduplah dengan kehendakmu hatta 1 trilion tahun sekalipun, tanpa redha Allah..segalanya tidak bernilai sesaat sekalipun. Padang Mahsyar tiada kenal harga susah kerana perkara yang sia-sia. Hanya kala langkah berjalan di keredhaan Tuhan, barulah ia dijunjung penuh penghormatan.
Mari kembali di hening malam, bergalaskan jiwa hamba, hargai segala pemberian-Nya. Nyawa telah diberi percuma, dihiasi lagi dengan Iman dan Islam. Apa lagi yang lebih mahal dari anugerah ini?
INGIN BAHAGIA TAK SEMESTINYA KAYA 

alt


 Dulu-dulu semasa saya kecil, saya selalu berangan nak hidup bahagia. Makna bahagia pada saya waktu itu dalam erti kata lain ingin hidup kaya-raya. Ada rumah besar, ada kereta mewah, dapat melancong satu dunia dan macam-macam lagi.Tapi itu masa saya kecil lagi. Waktu itu saya rasa bila dapat jadi kaya-raya nanti, hidup kita akan lebih hebat,lebih bahagia dan lebih baik dari orang lain.
Tapi saya silap. Bila sudah semakin dewasa sekarang,  boleh berfikir dengan baik, baru saya sedar kehidupan yang kaya-raya tidak semestinya akan buatkan kita bahagia untuk selama-lamanya. Kekayaan harta-benda tidak menjamin kebahagiaan sepenuhnya. Bahagia dengan kemewahan tidak menjamin kehidupan di dunia dan akhirat jika kita tidak meletakkan Allah sebagai asasnya.
Bahagia dengan kekayaan bukanlah segala-galanya kalau tidak tahu untuk bersyukur kepada Allah yang sentiasa memberi nikmat tidak terhingga ini. Mungkin dengan kekayaan, di dunia kita akan bahagia, tapi tidak semestinya di akhirat juga akan bahagia, melainkan kekayaan itu diurus untuk pelaburan akhirat kerana Allah semata-mata, insyAllah ianya akan menjamin kebahagiaan kita di dunia juga di akhirat. Ini satu perkara penting yang telah saya pelajari sekarang.
Ingin bahagia tidak semestinya dapat jelajah satu dunia... tidak semestinya setiap semester dapat Dean List atau dekan dan graduan kelas pertama.. Ya betul, memang semua orang akan merasa gembira jika memiliki hidup seperti itu. Fitrahnya manusia akan merasa gembira dan bahagia apabila mendapat kebaikan, kenikmatan namun kita juga perlu memikirkan bahawasanya, apa yang kita inginkan tidak semua akan kita miliki. Itulah hakikat sebuah kehidupan.
Walaubagaimana pun, jika tidak dapat apa yang kita inginkan, tidak semestinya hidup kita tidak bahagia. Tidak perlu merasa kurang sehingga memprotes apa yang ada di hdapan kita. Tidak semua orang yang kita lihat kaya raya, punya wang berjuta itu hidup bahagia. Kita tidak tahu masalah dalam hidup mereka. Mungkin masalah yang mereka hadapi lebih teruk dari kita. Dan tanpa kita sedar, kadang-kadang kehidupan mereka lebih derita berbanding kita.
Maka bersyukurlah dengan apa yang ada. Merasa bahagia itu letaknya di hati. Dan bahagia itu hanya akan dapat di miliki apabila merasa ada walau pun tiada. Merasa bahagia walau pun terasa derita. Segala kekurangan yang ada di depan mata tidak sedikit pun memberi ruang kepada hati merasa kurang. Apa jua yang ada di raih dengan qanaah dan redha seadanya.

Adakalanya, ada juga orang kaya yang hidupnya bahagia tapi kekayaan yang dimiliki itu hasil dari rasuah, rezekinya melimpah ruah tetapi tiada berkatnya disisi Allah SWT.  Walau pun dari jauh mungkin kita lihat dia tersenyum bahagia, namun jauh di sudut hatinya terasa kosong, suram dan jauh dari tenang. Tidak salah menjadi kaya, jutawan ternama. Islam juga menggalakkan umatnya untuk meraih kekayaan di dalam hidupnya kerana dengan kekayaan dapat melepaskan diri daripada meminta-minta. Bukankah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; 
"Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tangan di atas (yang memberi), lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima bantuan)"
(Hadis SahihRiwayat Imam Ahmad)
Bersyukurlah jika kekayaan itu menjadi milik kita. Namun, bagi yang diuji dengan kemiskinan, perlu disematkan di dalam hati bahawasanya kekayaan di dunia ini bukanlah bersifat hakiki. Harta yang dimiliki itu juga sebenarnya adalah sebuah ujian. Di uji samada mereka yang memilikinya akan bersyukur atau kufur dengan nikmat yang ada.
Demikianlah kebahagiaan di dunia ini hanya bersifat sementara. Hanya kebahagiaan di akhirat lah yang lebih bermakna. Esok lusa apabila dipanggil Allah SWT, kain kapan putih juga yang akan disarungkan ke badan kita sedangkan jika dinilai harganya semeter berapa ringgit sahaja. Tidak sebanding dengan harga pakaian yang sedang kita pakai sekarang.
Apabila bertemu dengan Allah, sudah tidak ada lagi baju yang mahal-mahal. Semua harta benda kita pula, akan kita tinggalkan begitu sahaja. Tidak akan di bawa bersama dan ianya akan diwariskan kepada anak dan cucu kita. Begitulah kekayaan yang ada, hanya akan setia bersama kita sepanjang kehidupan kita tetapi pada saat kematian, kekayaan itu juga akan meninggalkan kita.

Harta yang sebenar yang perlu di bawa hanyalah amalan dan sedekah jariah kita semasa di dunia. Namun, hakikat  inilah yang sebenar sering kali kita lupa. Lupa apabila nafsu hanya melihat pada kekayaan di dunia. Hati kita mati untuk lihat kekayaan yang sebenar yang perlu di cari sebagai tiket untuk ke syurga.
Kekayaan yang sebenar ialah tidak lain adalah amalan atau kebaikan yang kita lakukan di dunia semata-mata kerana Allah. Kebaikan yang ada pahala didalamnya. Kekayaan yang perlu dicari ialah kaya dengan ilmu agama, ilmu yang akan membawa kita ke syurga. Sebagai manusia yang beragama Islam, kita tidak sedar yang kita kaya dengan Al-Quran dan hadis serta sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Namun, kita lupa untuk mengambilnya sebagai 'harta' sebagai pelaburan kita di dunia untuk kebahagiaan akhirat kita.
Fitrah manusia itu sendiri yang sering lupa, termasuklah diri saya sendiri. Kadang-kadang kita terlalu taksub dengan kebahagiaan di dunia hingga lupa kebahagiaan di akhirat. Ingin bahagia tidak semestinya perlu untuk sempurna semuanya, kerana kita sebagai manusia pun selamnya tidak akan sempurna sepenuhnya.
Cuba kita lihat,kadang-kadang mak cik yang jual nasi lemak di tepi jalan, lebih bahagia hidupnya dari 'businessman' yang sahamnya berjuta-juta. Ini kerana hidupnya sering mengutamakan Allah terlebih dahulu dari perkara lain. Walau sesusah mana pun, Allah mesti diutamakan dari yang lain.
Kebahagiaan sebenar yang dicari akan dapat apabila hati kita cinta kepada Allah melebihi segala-galanya. Itulah kebahagiaan yang sebenarnya. Tapi kita selalu melebih-lebihkan dunia dari Allah..Termasuklah diri saya yang sering alpa tentang perkara yang lebih penting.. Akan tetapi untuk mendapatkan kebahagiaan dari Allah juga tidak semestinya perlu beribadat 24 jam, tanpa melakukan apa-apa.
Allah meyuruh kita berusaha sendiri untuk dapatkan apa yang kita mahu. Dapat atau tidak,itu urusan Allah..Yang penting kita kena usaha dahulu dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah. Itulah kehidupan yang sebenar. Perlu berusaha,usaha dan usaha sehingga berjaya akan apa yang dihajati. Jangan sesekali putus asa. Dan yang paling penting jangan lupakan Allah dan sentiasalah memohon doa kepadaNya.  Semoga kita lebih mengutamakan kebahagiannya di akhirat daripada kebahagiaan di dunia. Allahumma amien.



Cinta, oohhh Cinta ? 




Cinta itu fitrah. Sering kita ungkap, sering kita singkap betapa besar perasaan cinta. Cinta juga apabila ditanya maksudnya, akan timbul pelbagai definisi dari setiap orang yang membicarakannya. Ya, cinta itu sifatnya suci dan kalam. Namun, kita sebagai manusia yang mencacatkan cinta. Apabila ditanya, cinta apa yang utama, ramai atau mungkin semua akan katakan, 'cinta kepada Allah'.
Tepat sekali.
Namun, ramai yang tahu secara tepat, tapi tidak faham secara jelas. Cinta utama sudah pasti cinta kepada Allah. Mari kita muhasabah diri bersama-sama. Sebagai contoh, jika kita mendapat panggilan daripada kekasih daripada mendengar azan dari masjid, yang mana kita utamakan? Atau bila diajak untuk keluar bersama pasangan daripada menunaikan solat, mana yang kita dahulukan? Ataupun bila diajak membuat kebaikan daripada mencari habuan atau ganjaran dunia, yang mana kita lakukan? Tepuk dada, tanya iman.
Kita manusia mampu berkata-kata, mampu bersandiwara. Kita terbabas dari realiti dan lebih mengejar fantasi kehidupan berbanding mencari husnul khotimah. Ingatlah, diri kita (manusia) tanpa rahmat Allah ibarat tin kosong yang berkarat. Sungguh, lihatlah cinta itu pada mata hati bukan pada pancaindera dan rasa semata-mata kerana terdapat nikmat iman jika kita mencintai Allah dan Rasul melebihi segalanya. Teliti dan fahami maksud hadis berikut:
Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga hal yang barangsiapa mengamalkannya, maka dia dapat menemukan manisnya iman, iaitu orang yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi daripada yang lain; mencintai yang lain kerana Allah; tidak suka kembali pada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam api neraka.' (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i, Ahmad)
Sabda Rasulullah SAW lagi: "Masih belum sempurna iman seseorang daripada kalian sebelum diriku lebih dicintai oleh daripada hartanya, anaknya, dan seluruh manusia." (Riwayat al-Nasa'i)





Jalan mencari cinta
Jalan cinta bukan mudah. Akal dan pemikiran muda mudi kini sering kali disesakkan dengan ideologi dan kata-kata indah tentang wujudnya 'cinta islamik' sebelum berkahwin. Sedarlah, tiada cinta sebelum nikah. Andai kata kita mengucapkan rasa cinta kepada seseorang yang tiada ikatan yang sah sudah pasti bakal mengundang zina hati atau fitnah tanpa disedari. Ungkapan 'aku mencintaimu kerana Allah' dijadikan satu alasan untuk meng'halal'kan cinta mereka semata-mata. Jadi, pilihan ada pada kita semua.
Mari kita selami hadis ini: "Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang syahid." (Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami dan lain-lain)
Amat besar nikmat cinta jika yang dicari demi mendapat keredhaan Ilahi. Inilah perjalanan kehidupan, cinta mencipta seribu satu persoalan. Cinta Ilahi adalah segalanya. Cinta kerana Allah akan sampai ke penghujungnya. Biar dirasai kepahitan dalam mencari cinta agar mendapat kemanisan hikmah di sebalik kisah cinta.
Aspek memilih cinta
Sebagai seorang Muslim, iman dan taqwa jadi pegangan. Al-Quran wajib dijadikan pedoman dan ditegakkan serta as-sunnah mesti dijadikan ikutan. Begitulah juga dalam aspek memilih cinta hati atau pasangan hidup kita. Agama perlu dijadikan panduan utama.
Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya: "Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya,maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, jagalah kesucian diri, simpanlah perasaan yang bersemi di hati, cinta Ilahi adalah cinta abadi. Islam, iman dan ihsan adalah aspek penting dalam memilih calon yang soleh dan solehah. Mohonlah doa dan keredhaan daripada Allah semoga dikurniakan seorang insan yang akan membuatkan kita bahagia di akhirat kelak nanti. Jadi, ingatlah, iman, ikhlas dan sabar adalah kunci kepada cinta yang suci.
Firman Allah SWT:
"Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang yang bertakwa."
(Surah al-Furqan 25: Ayat 74)
Insya-Allah.


Hanya Allah yang tahu..

Sungguh..setiap pertemuan pasti ada perpisahan..setiap perhubungan pasti ada pengahkiran . . .
Kadang -kadang satu keputusan yang kita buat ada sebab nya .walaupun keputusan tu agak menyakitkan untk diterima.Hati yang tak kuat terpaksa dikuatkan.walaupun ada titisan air yg akan mengalir di pipi.

Dulu,kita selalu mesej dan gurau2 . .mula2 kita kenal sbb ada org ckp awak kirim salam.Saya buat tak tau je walaupun terkejot.Pastu masa minggu balik tu sy dapat mcg awak.awak ckp nama awak (penuh) pastu awak luahkan perasaan awak kt sy.pastu sy layan awak cm biasa.pada kenyataannya saya tak ske org yg luahkan perasaan dy kt sy.Sy tak tau knape.. sy tak ske sangat2 . .

pastu lama kelamaan saya ngn awak rapat. Walaupun kita takde pape hubungan sekali pun. Orang sume gossip kan kita.. Sy diam je lah . . wlaupun hati sakit . . ttbe sy bole trime awak . . sbb sy dnga awak ni alim . . ngn sume tu . . pastu dari tu sy slalu uji awak . .sy nak tengok betol ke tak . . tujuan sy rapat ngn awak bukan sbb sy nak uji awak semata-mata. Awak selalu ingatkan sy ttg solat ngn awak slalu ingat kan sy ttg Allah. sy gembira ssangat sbb sy jmpe org yg cm awak.

Tapi.. makin lama sy rapat ngn awak . . sy nmpk awk dh kurang tu..tapi awak ttp ingat kan sy pasal solat. . sy solat lambat mesti awak mara sy.Saya pernah cakap kt awak . . jaga iman awak..jaga perasaan awak..jaga pandangan awak . . sy ttp gak nmpk awak ngn akak form5 . . ye saya jeles . . sy jeles sbb sy syg kan awak . ..sy diam je . .sbb sy tak layak untk awk fikir perasaan sy . .. 

Sy dh tak tau nak cakap ap . . sy pun takde lah baik sangat . . jujur . . Allah je yg tau rindu sy kat awak. . lepas sy gadoh ngn awak . . sume brubah . . sy gila-gila kat skola sbb sy nk tutup perit hati sy sbb org guriskan hati saya.lepas je sy gadoh ngn awak..sy gado ngn kawan yg saya rapat,Abah ttbe mara kt saya . . pastu besok tu umi pulak cm mara kt saya . . mulai dari hari tu . . hati sya makin terluka sbb org lukakan hati sy . . sy taknak mara . .sy diam je . .tapi sbb diamnye sy ..malam selasa kat asrama sy nangis .
Allah je yg tau . .Sakitnya hati sy..

Mungkin ni ujian saya . . Allah bg ujian ni untk sy spaye hati sy kuat . .sy cuba kuatkan hati saya yg bnyak luka ni. . . saya lembik?? a'ah..mmg sy lembik sbb sy ni pmpuan . .tapi sy ttp akan cuba kuatkan hati saya dengan gila-gila kat asrama ngn sekolah..Wallahualam . . .Assalamualaikum...